Saturday, 7 May 2011

Kesedihan Yang Tidak Berpenghujung


Aku mengalihkan pandanganku ke arah laut yang terbentang luas di hadapanku. Panas terik cahaya matahari memancar tepat ke atas dahiku. Peluh yang melurut ke tepi perlahan ku seka. Nafas aku sesak, cuba menahan tangis daripada terhambur keluar. Namun akhirnya ku tewas juga. Perlahan air mataku jatuh membasahi pipi. Bergenang kelopak mataku dengan airmata. Turun mencurah-curah sehinggakan aku sendiri tidak berdaya untuk menyapunya lagi. Pedih, sedih, kecewa dan pelbagai lagi emosi yang dapat aku rasakan pada waktu ini. Semua ini salahku, aku tidak boleh menafikan hal itu. Dari aku kecil hingga sekarang, aku tidak pernah berasa sempurna dimataku sendiri. Ada sahaja kejelekkan yang dapat aku kesan tatkala aku berjaya memperoleh sesuatu perkara. Aku menang tetapi ada kekalahan. Aku benar tetapi tetap ada kesalahan. Bukan sekali dua aku berfikiran seperti itu, malah sudah acap kali. Seringkali aku bertanya kepada diriku sendiri, apa salah aku? Dan seperti yang sudah aku duga, pertanyaan itu berlalu sepi sendiri. Aku lemah, lemah sekali tatkala berhadapan dengan masalah yang melibatkan persahabatan. Entah mengapa, aku jadi kelu untuk mempertahankan hak aku sendiri apabila berhadapan dengan rakan karibku sendiri. Meskipun aku tahu, itu semua hanya salah faham yang tercetus akibat daripada salah sangka yang aku sendiri tidak menyedarinya. Sungguh aku sendiri pada waktu ini. Aku lemah apabila berhadapan dengan dia. Lidah aku kelu untuk menuturkan kata maaf. 
Entah mengapa aku begitu merindui dia walaupun dia berada berhampiranku. Rasa sayangku terhadap dia begitu menebal sehinggakan aku tidak sanggup untuk membetak dia walaupun untuk sekali. Sahabat, sampai bilakah kau ingin menutup dirimu begitu? Sampai bilakah kau ingin terus-terusan mendiamkan dirimu sebegitu? Ketahuilah, diri ini merindukan gelak dan tawamu. Hati ini kosong tanpamu. Cukuplah penderitaan yang telahpun berkali-kali aku rasakan. Aku tidak mahu kehilanganmu sahabat. Kau begitu berharga buat aku. Kau sekarang ibarat bunga mawar dalam kaca, boleh dilihat tetapi tidak boleh dipegang dan disentuh.

Aku berpaling dan melangkah pulang. Diriku kosong umpama patung bernyawa. Entah apa yang patut aku lakukan sekarang? Menangiskah? Ketawa ataupun terus-terusan menanti permohonan maafku diterima? Biarpun, daripada zahirnya aku gembira dan ketawa, tetapi hatiku menangis hiba. Tidakkah engkau mengetahui yang air mataku pernah mengalir keranamu sahabat. Tidakkah engkau mengetahui yang tangan ini berulang kali mencoret namamu di helaian kertas-kertas. Sahabat, aku menjadi semakin buntu tanpamu di sisi. Kehadiranku ke sekolah tersimpan dengan penuh niat. Dan salah satunya ialah bertemu muka denganmu. Sahabat, di saat aku menulis karangan ini, hatiku berlagu sedih. Jiwaku beritma pilu. Aku benar-benar menanti dirimu. Di saat ini, kau berada disebelahku tetapi aku tahu, kau begitu jauh sekali untuk aku capai. “Awak, awak sihat?”, aku bertanya. Cuba untuk memulakan perbualan dengan dia. Dan jawapan yang aku terima, dia diam seribu bahasa. Bertindak seperti aku tidak wujud di situ, dia bangun dan tinggalkan aku sendirian lagi. Puas aku cuba mencari punca pertelingkahan ini. Entah di mana silap aku. Termenung lagi aku sendirian. Aku bingkas bangun dan menuju ke perpustakaan, tempat terbaik yang akan aku kunjungi seandainya dilanda masalah. Di situ, aku sibukkan diriku membaca buku-buku. Dengan harapan aku akan melupakan masalah yang melanda aku saat ini. Namun, sekuat mana pun aku cuba, berulangkali masalah itu akan bermain di fikiranku. Ligat otakku berpusing, berusaha keras cuba untuk menyelesaikan masalah yang aku hadapi. Penat sekali rasanya badan ini. Menjadi semakin tidak bermaya sejak pergaduhan tercetus. Gedung ilmu itu aku tinggalkan dengan seribu macam kekusutan yang bergelodak di jiwa. Aku singgah di tempatnya, kelas itu kini kosong tidak berpenghuni kerana sebenarnya waktu pulang sudahpun berlalu lima minit yang lalu. Tempatnya juga kosong. Entah mengapa, perasaanku sekarang juga kosong ibarat tempat duduknya. Aku sedang mengemaskan barang-barangku saat sekeping surat biru cair jatuh daripada celahan buku-bukuku yang berselerak di atas meja. Baru sahaja aku ingin membuka surat itu, aku dipanggil oleh saudaraku untuk pulang. Surat itu aku simpan di dalam beg sekolah. Cepat-cepat aku melangkah menuju ke arah keretaku. Hatiku bagai digamit untuk segera sampai ke rumah. Tidak sabar rasanya untuk aku mengetahui isi surat itu.

Apabila sampai di rumah, cepat-cepat aku berlari masuk ke dalam bilik. Hasratku untuk membaca surat yang kuterima sebentar tadi terbantut lagi apabila ibuku melaung daripada bawah, “Cepat ganti baju sekolah, ada perkara yang perlu ibu beritahu pada Aisyah”. Kata-kata ibu membuat aku bermonolog sendirian “Ah, ibu ada-ada sahaja. Mengganggu urusan penting sahaja”. Sejurus selepas mengucapkan kata-kata itu, aku menekup mulutku dengan tangan. Menyesali monolog aku sebentar tadi. Mengucapkan kata-kata seperti itu terhadap ibu sendiri merupakan ciri-ciri anak derhaka. Apabila perkara itu terlintas di kepala, rasa takut mula menguasai diriku. Lalu dengan segera, aku mengganti baju dan usai menunaikan solat zohor, aku turun menemui ibu di dapur. Berita yang disampaikan ibu membuatkan aku kelu untuk berbicara. “Apa ibu? Kita nak pindah?”, aku memutuskan untuk bertanya sekali lagi untuk kepastian, walhal ibu sudahpun menjelaskan dengan panjang lebar tentang hal itu sebentar tadi. “Ya, ayah ditukarkan ke Kuala Terengganu, mahu ataupun tidak, kita semua harus berpindah ke sana hujung bulan ini”, penjelasan ibu membuatkan fikiran aku bertambah kusut. Sesudah itu, ibu meninggalkan aku sendirian di dapur kerana ada perkara lain yang mendesak ibu untuk pergi ke rumah temannya. Sepermegian ibu, aku termenung sendirian. Memikirkan apakah aku sempat berbaik dengan si ‘dia’. Apakah masih ada kesempatan lain untuk keadaan kembali jernih seperti dahulu. Semakin aku memikirkan perkara itu, semakin hiba hatiku. Lamunanku terganggu apabila beberapa helaian kertas terbang ditiup angin di hadapanku. Aku bangun, mengemaskan kertas-kertas berselerak itu lalu menindihkannya dengan buku yang sederhana beratnya. Dan selepas itu, aku mengorak langkah menuju ke bilik. Kertas-kertas yang berterbangan sebentar tadi mengingatkan aku tentang surat biru yang belum aku ketahui isinya itu.

Surat itu aku buka dengan berhati-hati. Takut isinya terkoyak, tentu menyukarkan aku untuk membacanya. Isinya padat dan ringkas, namun isinya cukup membuat aku bingung. Tiada nama pengirim dan tulisan tangannya tidak aku kenali. Baru pertama kali ini aku melihatnya. Hatiku tertanya-tanya, siapakah gerangan yang menghantar surat ini. Pengirim surat ini berulangkali meminta aku maafkan dia. Katanya, pertelingkahan aku dan rakan karibku berpunca daripada dia. Dia menfitnah aku dengan mengatakan aku sering memburuk-burukkan rakan karibku itu. Katanya lagi, dia ingin menemui aku esok pagi tanpa ditemani sesiapa di luar padang sekolah pada waktu rehat. Aku berfikir sejenak, cuba mengingati sama ada aku pernah melakukan kesilapan sehingga ada yang sanggup melakukan perkara seperti itu. Puas aku berfikir, akhirnya aku memutuskan untuk menunggu sahaja esok pagi. Aku menjadi tidak sabar-sabar untuk mengetahui hal yang sebenar. Ingin mengetahui silap dan khilafku. Ah! Aku berasa agak keliru saat ini. Bermacam persoalan bermain di dalam fikiranku. Semua masalah yang aku hadapi berpecah di kepalaku. Satu-satu aku cuba fahami sedalam-dalamnya. Aku dapat rasakan agak pening apabila aku cuba mencari jalan penyelesaiannya. Akhirnya, aku tegaskan pada diriku, esok, segala kekusutan yang aku hadapi saat ini akan terlerai. Entah mengapa, timbul satu perasaan yang esok akan ada jalan yang akan menemukan aku dengan punca yang menyebabkan aku terjerat dalam kurungan yang menerbitkan seribu macam persoalan.

Esoknya, sejurus sampai ke sekolah, aku dikejutkan dengan berita tentang kehilangan seorang rakan kelasku, Anis yang telah pulang ke rahmatullah lewat petang semalam akibat leukimia tahap kronik yang dihidapinya. Usai membaca al-Fatihah, rakan karibnya, Aina menyerahkan sehelai surat, katanya daripada Anis. Ditulis sejam sebelum peristiwa itu berlaku. Aku terpaku, lambat-lambat tanganku menyambut kertas itu. Aina makin kuat esakkan tangisnya sesudah surat itu bertukar tangan. Aku mempelawa dia duduk di tepiku. Ku tepuk bahunya berulangkali, cuba meredakan kesedihannya. Setelah itu, surat itu ku singkap isinya. Aku seakan tidak percaya, Anislah orang yang bertanggungjawab mencetuskan pergaduhan aku dan si ‘dia’. Sungguh sedikit marah, sebal, kecewa dan sedih bercampur gaul. Tetapi, apabila mengenangkan Anis yang sudah tiada, aku ikhlaskan hatiku untuk memaafkan dia. “Aina, benarkah apa yang Anis tulis ini?”. Tanyaku kepada Aina yang sudahpun mulai kurang sedihnya. Matanya bengkak, mungkin akibat menangis terlalu lama. Aina mengangguk kecil. “Ya, Anis sebenarnya cemburu apabila melihat awak berdua terlalu rapat. Dia marah sebab awak rampas kawan baiknya”, jawab Aina perlahan. Aku terdiam. Akukah penyebab Anis kehilangan pertimbangan sehinggakan sanggup mengambil keputusan untuk melakukan perkara itu. Aku menekup mukaku dengan tanganku. Air hangat mula mengalir perlahan-lahan. Aku bangun lalu menyentuh bahu Aina, menggamit dia untuk bangun sama. Dia bingkas berdiri mengambil tempat di sebelahku dan kami berjalan bergandingan bersama. “Kita nak pergi mana ni?,” Aina bertanya. Jelas sekali dia agak bingung melihat aku berjalan cepat-cepat. Langkahku terhenti, membisikkan kata-kata di telinganya, dia mengangguk-angguk kecil dan mula mengejar aku kembali yang sudahpun berjalan semula.

Kakiku berhenti di hadapan kelas. Rakan-rakanku yang lain sedang sibuk membuat kerja masing-masing. Aku menarik nafas. Cuba mengumpul kekuatan. “Assalamualaikum semua, saya ada perkara yang ingin disampaikan,” aku mulakan mukadimah ucapan aku. Mata-mata yang tadinya tidak menyedari kehadiran aku di hadapan kelas kini mula memberikan perhatian. Aku menjadi sedikit gugup. “Kawan-kawan, sebenarnya saya ingin memohon maaf sekiranya pernah melakukan kesilapan, mulai bulan depan, saya tidak akan lagi berada di sini kerana saya akan berpindah ke Kuala Terengganu,” aku berkata. Rata-rata memandang aku dengan ekspresi wajah yang terkejut. Aku teruskan lagi ucapanku dan kali ini, khusus buat si ‘dia’. “Awak, saya tidak pernah berniat pun untuk melukakan hati awak. Maafkan saya andai saya pernah buat awak sakit hati.” Sejurus selepas berkata yang sedemikian, aku menangis dan berlalu pergi ke perpustakaan. Ramai yang tercengang dengan tindakanku itu. Aina merapati si ‘dia’ dan menjelaskan perkara sebenar yang berlaku. Si ‘dia’ tersentak. Aina mengukuhkan lagi penjelasannya dengan memberi surat-surat yang Anis titipkan kepadaku. Surat-surat itu ku serahkan kepada Aina untuk berikan kepada si ‘dia’. Si ‘dia’ menangis apabila membaca surat-surat itu lalu pergi mengejar aku. Dia tahu kebiasaanku jadi dia bergegas ke perpustakaan untuk mendapatkan aku. Apabila si ‘dia’ menemui aku di situ, dia memegang tanganku lalu memeluk tubuhku. Sambil menitiskan airmata, si ‘dia’ memohon maaf kepadaku. Aku tersenyum pahit, “Sudahlah tu, tiada apa yang perlu ditangiskan.” Aku memujukdia perlahan. “Buang yang keruh, ambil yang jernih ya,” aku menambah lagi. Selepas itu, kami berbaik semula. Kebetulan ulangtahunnya juga pada bulan itu, kami menyambutnya dengan penuh kesyukuran. Di akhir bulan itu, ku habiskan waktu dengan dia. Dan dia melepaskan aku pergi dengan tangisan. Kata-kata terakhirku di hadapannya “Aku tinggalkan tempat ini yang tersimpan seribu kenangan dan di sana, aku akan mencipta seribu lagi kenangan tetapi kenangan dengan kamu merupakan kenanganku yang paling berharga dan tidak dapat digantikan walaupun dengan timbunan permata.” Air mata kami mengalir serentak. “Sahabat, kau satu dalam sejuta.” Di bawah sedar juga, aku setuju dengan frasa “teman ketawa mudah dicari, teman menangis sukar ditemui.” Aku kemudian tenggelam dalam kenangan dan kesedihan yang bercampur baur. Tunggu aku sahabat, aku akan menemuimu lagi dan kenangan terus-menerus berputar di kelilingku lagi dan lagi.


 Hasil karya Nur Faizatul Atiqah binti Ahmad Zainal

1 comment: